Image Widget

Image Widget

Ahlan Wasahlan...... Assalamualaikum

Biar Dunia Jadi Saksi,

Agar Kelak Tiada Alasan Diberi

Jagalah hubungan dengan Nya Agar Allah akan jaga hubungan kita Dengan yang lain, dan lakukan perkara dunia,dapatkan perkara dunia, tapi mesti seiring dengan kekuatan, semata-mata untuk lebih dekat dan yakin Kepada ALLAH TAALA

Wajib Baca

Tuesday, April 6, 2010



Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) merupakan sebuah kempen amar makruf nahi munkar anjuran Raudhatus Sakinah (rumah perlindungan wanita tidak bernasib baik) yang telah berlangsung sejak 2007 lagi. Usaha mereka semakin disemarakkan dengan penglibatan lebih ramai badan korporat dan orang perseorangan yang memberi sumbangan dari segi tenaga, masa, komitmen dan wang ringgit.


Prebiu Anda Bijak Jauhi Zinatelah diadakan pada 28 Januari 2010, Khamis lalu di Danau Golf Club, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi. Ia disertai oleh lebih 30 orang dari kalangan korporat dan juga media. iLuvislam.com telah dijemput khas sebagai perwakilan media untuk sama-sama mengetengahkan program ini kepada masyarakat.

Program ini bertujuan mencegah gejala zina yang semakin berleluasa di kalangan remaja dan juga orang dewasa di negara ini. Program ini dicetuskan atas kesedaran memandangkan Raudhatus Sakinah yang menempatkan gadis-gadis terlanjur dalam usaha memulihkan dan memantapkan mereka dari sudut akidah, akhlak dan sahsiah seterusnya menjadikan mereka bisa bercampur dalam masyarakat semula.

Statistik Raudhatus Sakinah menunjukkan ramai pelatihnya terdiri daripada remaja berusia seawal 13 tahun sehinggalah penuntut universiti. Data ini cukup untuk menggambarkan betapa parahnya gejala sosial dalam negara kita ini yang digembar-gemburkan sebagai antara negara Islam yang maju membangun.

Ucapan Perasmian Prof Madya Dr Tajul Ariffin(Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Baru Bangi Zon 23)

Perkongsian daripada Prof Madya Dr Tajul Ariffin adalah antara yang paling menarik untuk didengari. Tuturnya ilmiah, butirannya hikmah. Menurutnya, orang kebanyakannya menggunakan istilah mat rempit, seks bebas dan lain-lain untuk lari daripada kekejian istilah zina. Padahal peranan istilah ini sangat penting, kerana bila orang mendengar perkataan zina, orang sudah terbayang kekejian perkara itu. Namun, bila penggunaan istilah itu ditukar, rata-rata orang tidak berasa apa-apa lagi. Inilah zouq yang terdapat dalam istilah zina tersebut.

Beliau juga menekankan betapa kita sebenarnya masih terjajah oleh Barat samada dari segi fizikal dan pemikiran. Perkataan ‘merdeka' tidak seharusnya kita banggakan. Menurut seorang filosof Barat, Sigmon Flaud (maaf jika salah ejaan), fitrah kehidupan, yakni manusia dan haiwan adalah terarah kepada seks. Lantas kajian seksologi mangambil tempat di serata dunia sebagai bidang yang terhormat dan diakui. Sedikit demi sedikit seks menjadi bebas dan akhirnya tidak terkawal. Gejala ini menular ke masyarakat, termasuk masyarakat Islam yang terbuka untuk menerima hedonisme. Fahaman tadi ditanam dalam minda kanak-kanak sebagai ‘liberal education' dan akhirnya masyarakat tersebut tidak lagi memandang hina lagi perkara itu. Padahalnya, fitrah utama kehidupan ialah agama, di mana manusia terutamanya amat-amat memerlukan kehidupan bertuhan. Lihat saja kisah Nabi Ibrahim, berkali-kali mencari Tuhan seperti yang digambarkan dalam al-Quran. Belum lagi kisah atheis yang menjadi tenang setelah menemui kehidupan bertuhan.

Kebahanaan pendidikan sains bermula daripada pemikiran bahawa teori dan praktikal ialah aplikasi utama. Paradigm saintifik kaedah sains bermula dengan ragu, menyoal dan akhirnya eksperimen dibuat untuk menjawab keraguan, namun jawapannya adalah teori, belum pasti betul atau salah. Apabila pemikiran ini diadaptasi dalam pendidikan seks, masalah mula muncul. Di Barat, pendidikan seks mula diajar seawal usia 13 tahun. Kaedah sains yang menuntut praktikal akan menggalakkan mereka mempraktikkan teori yang dipelajari tanpa rasa bersalah kerana masyarakat menerimanya sebagai suatu benda yang biasa.

Bezanya dengan paradigm agama, kalau tadi pradigm saintifik bermula dengan ragu, tetapi paradigm agama harus bermula dengan yakin. Barulah persoalan yang terjawab berpandukan Quran dan Sunnah.

Prof Madya Dr Tajul Ariffin juga mengingatkan bahawa kita ini sebenarnya Islam secara kebetulan, kerana mak ayah kita juga Islam. Ini bermaksud kita bukanlah Islam dari hati nurani, Cuma surface sahaja Islam. Akhirnya, beliau mengajak sama-sama mengembleng tenaga dan buah fikiran tentang bagaimana hendak mengubah ‘Melayu-Islam' kepada ‘Islam-Melayu'.


Dr Harlina Siraj : Taklimat Kesihatan Seksual & Reproduktif Remaja : Cabara & Dilemma

Dr Harlina, seorang pakar perbidanan yang juga menjawat beberapa jawatan tinggi dalam JIM dan persatuan lain seperti Persatuan Ibu dan Anak, telah menyampaikan perkongsiannya dari sudut medik. Menurut pengalaman beliau yang telah menjadi pakar sakit puan selama lebih 20 tahun, pada tahun 1991, dalam tempoh 2 minggu hanya seorang dua yang melahirkan anak luar nikah. Namun sekarang sampai 3 kes dalam satu malam. Ini ialah statistik yang didapati di pusat beliau bekerja, bagaimana pula jika diambil kira di seluruh negara?

Dr Harlina juga banyak memperkatakan mengenai impak dan pengalaman beliau sepanjang mengendalikan banyak kes anak luar nikah ini. Dan yang paling berkesan di hati penulis ialah apabila beliau memberi contoh perbezaan gejala sosial ini dahulu dan sekarang dengan analogi. Katanya ketika zaman dahulu, remaja perempuan yang mencapai usia 9 tahun, sudah diajar memasak dan sebagainya sebagai persediaan berumahtangga dan mereka berkahwin pada usia semuda 15 tahun. Remaja lelaki pula dilatih bertani, menangkap ikan membantu bapa menyara keluarga. Mereka juga berkahwin dalam usia muda.

Makna katanya mereka telah melalui kehidupan remaja yang singkat, dan dengan segera mengalami hubungan seksual secara sah. Bandingannya dengan sekarang, remaja baligh lebih awal dan remaja belajar sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi dan seterusnya bekerja. Proses ini menyebabkan mereka berusia 25 tahun atau 30 tahun jika mahu diambil kira sudah bekerja dengan stabil. Mereka mengalami proses keremajaan yang lama dan menerima pendedahan seksual terlalu awal dan meluas dan ini menyebabkan keinginan mereka memuncak. Pandangan masyarakat juga berubah pada hari ini dengan memandang negatif pada pasangan yang ingin berkahwin awal.

Pada fahaman liberal, seks adalah eksperis diri. Manusia bebas bergerak di bawah nama ‘human's rights' tanpa mempedulikan apa itu human's wrongs. Konservatif pula memandang seks sebagai kerendahan moral. Siapa yang melakukan seks akan dipandang hina. Namun Islam adalah seimbang. Seks adalah perlu untuk meneruskan kemandirian spesis manusia di samping menurut fitrah kejadian, tapi bukanlah sebagai matlamat utama berbanding agama.

Perkongsian Puan Rosmawati dan Puan Yusnani (Raudhatus Sakinah)

Seorang dipanggil ibu dan seorang dipanggil umi. Demikian mesranya petempatan di Raudhatus Sakinah (RS). Kedua-dua tokoh ini berkongsi dengan kami bagaimana mereka mengurus dan apakah kehidupan seharian pelatih di RS. Sehingga kini terdapat cawangan di negeri-negeri lain, atas permintaan dan juga keperluan semasa. Antara pencapaian RS ialah, sekarang ini terdapat kemasukan pelatih dengan perintah mahkamah apabila mahkamah merasakan ada potensi untuk RS membimbing seseorang itu.

RS banyak menerima pelajar sekolah, pelajar universiti dan kebanyakan mereka adalah mangsa pujuk rayu dalam kehangatan bercinta dan akhirnya terlanjur melakukan hubungan terlarang. Ada antaranya yang melahirkan anak dan ada yang sampai peringkat membunuh pula anak tersebut. Segala macam pandangan dan tohmahan masyarakat akan dihadapi oleh mereka. RS menyediakan kehidupan yang lain daripada lain apabila pada siangnya mereka akan memasak sendiri makanan mereka. Mereka dibahagi kepada kumpulan dan tiap satunya ada ketua yang memimpin. Nilai kepatuhan pada ketua dapat dipupuk. Mereka akan menghadiri kelas pada waktu pagi dan petang, yang berkisar mengenai akidah, akhlak, sahsiah, sirah dan sebagainya. Di samping itu mereka juga diajar menjahit, membuat kraf dan macam-macam lagi. Tempoh mereka paling minimum adalah 13 bulan.

Banyak kes yang dikongsi bersama kami tentang pengalaman mengendalikan pelatih-pelatih ini. Pendek kata RS telah menjalankan suatu usaha murni untuk menyelamatkan gadis-gadis ini dari terus tergelincir ke jalan yang hina.

Matlamat ABJZ

Segala macam usaha telah dilakukan, pelbagai rintangan telah dilalui, dan berbagai macam ragam dan reaksi telah ditemui. Namun sedikit pun tidak mematahkan semangat RS dan angkatannya dalam meneruskan usaha yang menjanjikan saham akhirat ini. ABJZ ini menyimpan matlamat untuk mengumpulkan seramai sekurang-kurangnya 1,000 orang remaja di dataran KLCC pada 31 Disember 2010, iaitu menjelang sambutan tahun baru 2011 dengan masing-masing berkumpul dengan satu suara mengatakan tidak kepada Zina. Peristiwa itu dipilih kerana sambutan tahun baru dan kemerdekaan adalah antara asbab remaja berkumpul dan bergaul dengan bebas, seterusnya menjalani hubungan seksual yang akhirnya membawa kepada kerosakan moral. ABJZ juga menyasarkan menjelang 2020, Malaysia akan mencapai tahap sifar zina. Hanyalah dengan usaha dan kerjasama semua pihak dan rahmat dan hidayah Allah boleh menjayakan hasrat murni ini. Wallahu a'lam.

Lebih maklumat tentang kempen ini, layari :

http://sanasiniabjz.blogspot.com/


http://www.raudhatussakinah.com/

p/s: Krew iluvislam.com akan menziarahi Raudhatus Sakinah pada 20 Februari 2010. Jadi, kami membuka peluang kepada 10 orang ahli iLuvislam.com yang terpilih untuk menyertainya. Jika anda berminat, sila klik sini.