Image Widget

Image Widget

Ahlan Wasahlan...... Assalamualaikum

Biar Dunia Jadi Saksi,

Agar Kelak Tiada Alasan Diberi

Jagalah hubungan dengan Nya Agar Allah akan jaga hubungan kita Dengan yang lain, dan lakukan perkara dunia,dapatkan perkara dunia, tapi mesti seiring dengan kekuatan, semata-mata untuk lebih dekat dan yakin Kepada ALLAH TAALA
0 comments

Adakah dunia aman tanpa babi

Monday, May 11, 2009

Cuba bayangkan situasi ini. Seorang pelajar mengambil senaskhah surat khabar di atas meja, sementara menunggu pensyarah memulakan pengajaran. Kemudian, di lihat olehnya, pada muka hadapan akhbar tersebut. Gambar sekumpulan khinzir, bersama seorang budak kecil lelaki. Gambar tersebut bertempat di sebuah ladang, di Kaherah, selepas kerajaan Mesir memberi arahan untuk membunuh beribu-ribu ekor khinzir, ekoran daripada penyakit selsema babi[1] yang kini sedang melanda dunia. Terkeluar ayat dari mulut pelajar tersebut, "eiyy.. Geli nya." Segera surat khabar itu di lepaskan daripada pegangan. Si kawan melihat akhbar tersebut, sambil berkata di dalam hati, "oo, babi ke? Tak pasal-pasal je makhluk ni kena bunuh."

Figure 1 : Keratan akhbar The Dominion Post, bertarikh 1 Mei 2009, Jumaat. Sumber: REUTERS.

Penularan penyakit ini telah menyebabkan haiwan yang dikelaskan sebagai mamalia ini, dituduh sebagai punca utama. Lantas penghapusan terhadapnya dilakukan oleh beberapa negara seperti Mesir dan Iraq. Namun, World Health Organization (WHO)[2], dalam kenyataan yang bertarikh 1 Mei 2009, telah menyatakan bahawa pada peringkat ini, tiada lagi perpindahan jangkitan berlaku antara khinzir dan manusia. Kenyataan ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan beribu-ribu ekor lagi khinzir yang mendiami bumi ini daripada terus dibunuh.

Adakah dunia akan aman tanpa khinzir? Sebelum kita melangkah lebih jauh, baik kita selidiki bagaimana soalan ini boleh timbul. Adakah kerana baru-baru ini dunia dikejutkan dengan penyebaran influenza A (H1N1)? Sekali lagi ingin dibawa maklumat daripada WHO bahawa, pada waktu ini, tiada jangkitan virus yang berlaku daripada khinzir kepada manusia. Malah, dilaporkan di Kanada, manusia sendiri yang telah membawa virus ini kepada ternakan khinzir. Jadi, apa yang boleh disimpulkan untuk tempoh masa ini ialah penyebaran wabak ini datangnya daripada manusia, kepada manusia. Maka, perlukah kita menuding jari kepada haiwan ini sahaja, seolah-olah mereka lah punca utama pembawakan virus ini?

Kerajaan Mesir[3] dan Iraq[4] telah mengambil langkah mudah dengan menghapuskan sebilangan haiwan ini supaya wabak tersebut tidak akan singgah di negara mereka. Akhirnya tindakan ini dipersoalkan oleh WHO.

Jika begitu, apakah lagi? Mengapakah perlunya dikaitkan ‘keamanan dunia' dan ‘khinzir'? Sedangkan sebelum ini, peperangan banyak terjadi antara manusia, dan ianya berlaku di atas muka bumi ini. Adakah dengan meletusnya peperangan, dunia menjadi aman? Tentu tidak! Penindasan dan penghapusan terhadap sekelompok kaum natif atau etnik di sesebuah kawasan, adakah itu namanya keamanan[5]? Apakah namanya keamanan jika ada yang menderita dan terseksa di saat si penguasa bermaharajalela? Jika mahu dikaitkan dengan keamanan dunia sejagat, banyak lagi perkara yang perlu difikirkan, bukan hanya melibatkan sekumpulan haiwan yang kebiasaannya selsema babi ini bermula daripada mereka[6].

Penciptaan dan kejadian khinzir sebagai makhluk Tuhan di atas bumi ini bukanlah sesuatu yang sia-sia. Hal ini adalah kerana semua ciptaan-Nya ada kelebihan dan kegunaannya yang tersendiri. Kita sebagai manusia, sememangnya perlu sedar akan apa tanggungjawab kita di atas muka bumi ini. Kita diperintahkan oleh Pencipta kita Yang Maha Satu, untuk mentadbir dan menjaga alam sebaik yang mungkin. Manusia sebagai makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna, perlu menggunakan nikmat tersebut dengan sebaik yang mungkin.

Mata digunakan untuk melihat dan otak akan mentafsir setiap inci penglihatan kita. Telinga digunakan untuk mendengar. Tangan, kaki dan setiap anggota badan manusia, punyai kegunaannya yang tersendiri dan perlu untuk dikawal penggunaannya oleh individu tersebut. Mengapa? Kerana dari tangan dan kaki manusia lah alam ciptaan Tuhan kini berada di ambang bahaya. Pencemaran alam dek tangan yang tidak berusaha untuk memeliharanya dengan baik. Penipisan ozon, di mana punca utamanya ialah pembebasan kloroflorokarbon (CFC) sehingga terbentuknya ‘lubang ozon' di Antartika sekitar tahun 1985[7]. Tidak ketinggalan juga, dengan adanya ilmu dan penggunaan teknologi yang tidak terkawal, manusia sendiri yang menanggung akibat, seperti penyakit selsema babi ini.

Dinyatakan di dalam surah Al-Imran, ayat 191.

(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.


Melalui ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang benar-benar memerhatikan apa yang ada di sekeliling mereka, mahupun apa yang ada pada mereka, akan mengakui kebesaran Penciptanya. Sekaligus, mereka akan menghargai dan berusaha untuk memelihara. Ungkapan "prevention is better than cure"

Dewasa ini permintaan terhadap penghasilan daging semakin meningkat iaitu selari dengan penambahan populasi penduduk dunia. Daging yang dimaksudkan tidak terhad kepada daging yang halal bagi umat Islam sahaja, bahkan semua daging yang menjadi sumber protein manusia. Antaranya termasuklah daging babi. China sebagai contoh, membelanjakan anggaran $52 million untuk pembinaan pusat pemprosesan daging babi yang dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 136,000 tan metrik[8]. Di United Kingdom (UK), satu kajian telah dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi mutu daging babi bagi tujuan pemakanan penduduk yang terlibat[9]. Bukan itu sahaja, satu kempen pemasaran babi turut diadakan di UK pada September 2007, dengan tujuan menggalakkan orang ramai menjadikan daging babi sebagai bahan makanan[10].

Penggunaan teknologi di dalam penghasilan daging-daging ini bukan lagi sesuatu yang dagang. Amerika Syarikat misalnya, telah menggunakan kaedah teknologi pemindahan gene (gene transfer) ke dalam haiwan bagi meningkatkan penghasilan daging ke atas sekolompok haiwan[11]. Terdahulu, kajian telah dijalankan ke atas seekor tikus untuk menguji keberkesanan pemindahan gene tersebut terhadap pertumbuhan otot tikus. Hasilnya yang positif dan memberangsangkan menyebabkan kajian dan pemindahan gene ini diteruskan kepada organisma yang lain.

Jika dilihat secara kasar, pasti ramai yang akan bersetuju dengan penggunaan teknologi ini. Kenapa tidak? Bukankah teknologi ini mampu menyediakan pasaran jualan daging yang luas kepada pengguna? Melalui teknik dan kaedah ini, haiwan yang dihasilkan akan membesar dengan masa yang singkat kerana pertumbuhan ototnya telah dirangsang dan ditambah pula dengan kehadiran gene baru, yang pasti akan meningkatkan lagi pertumbuhan ototnya. Jadi bolehlah pengguna membeli, memasak dan menjadikannya sebagai hidangan, tanpa perlu berfikir masalah kekurangan stok bekalan. Hal ini adalah kerana stok yang dikehendaki sentiasa mencukupi dan jarang sekali untuk sukar didapati. Lambakan haiwan yang telah mengalami ‘pembaharuan' gene dalam tubuh badan mereka menjadikan pengguna mewah untuk memberi makan kepada tubuh masing-masing.

Di New Zealand sebagai contoh. Isu perpindahan gene ini merupakan isu yang agak penting, memandangkan penduduk natif di negara tersebut, iaitu Maori, amat sayang kepada alam mereka. Hal ini adalah kerana bagi penduduk Maori, mereka dan alam tidak boleh dipisahkan dan diciptakan sebagai satu. Jadi, apabila berlakunya pemindahan gene dari satu organisma ke organisma yang lain, hal ini sedikit sebanyak akan mengkucar-kacirkan carta alir keturunan yang sudah tersedia terbentuk. Maka, apabila terhasilnya satu ‘organisma baru' (yang sebenarnya hanyalah pertukaran gene), hal ini akan menjejaskan seluruh keturunan bagi spesis tersebut. Tidak kira tumbuhan mahupun haiwan. Jadi, sebagai langkah untuk mengambil kira pandangan daripada kaum Maori ini, Kementerian Penyelidikan, Sains dan Teknologi negara tersebut, telah menubuhkan satu badan untuk mengambil kira pandangan dari penduduk Maori ini[12].

Menurut sebuah akhbar tempatan New Zealand yang bertarikh 1 Mei 2009, The Dominion Post, di bahagian ‘World', pada waktu ini, masa yang paling singkat untuk kitar hidup seekor ayam ialah 40 hari sahaja. Permintaan pasaran yang meningkat untuk memenuhi keperluan makanan penduduk, sedikit sebanyak membuatkan si peladang terasak. Pemberian hormon dan antibiotik kepada haiwan ternakan berlaku hampir kepada semua peladang. Dalam masa 40 hari, seekor ayam itu boleh menjadi besar dan seterusnya boleh disembelih untuk memenuhi permintaan pasaran yang meningkat dari sehari ke sehari ini. Namun, adakah kita pasti penggunaan hormon dan antibiotik ini, dapat menjamin kesihatan ayam tersebut? Baiknya penggunaan hormon ini ialah ia mampu merangsang penghasilan daging dan telur yang banyak kepada pengguna. Tetapi, bagaimana pula dengan keadaan kesihatan ayam tersebut apabila terlalu banyak hormon ‘dimasukkan' kedalam tubuh mereka?

Bukan itu sahaja, apabila penghasilan haiwan melalui teknik agrikultur ini menjadi banyak, ia menyumbang kepada penyebaran pathogen, sama ada sesama mereka mahupun kepada manusia. Apabila terlalu banyak haiwan yang perlu dijaga di dalam sebuah reban atau kandang, adakah kita merasakan ianya sesuai untuk pertumbuhan mereka yang normal? Haiwan ini perlu berasak-asak di dalam kandang, dimana tidak mustahil sesuatu penyakit yang dihidapi oleh hanya seekor, akan senang tersebar kepada haiwan yang lain di dalam kandang tersebut. Cuba kita lihat kembali sejarah selsema babi ini. Sebenarnya wabak ini telah lama wujud di atas muka bumi ini. Cuma, sebelum ini, wabak ini tidak menular kepada populasi manusia secara terbuka. Hanya mereka yang menternak dan terlibat secara langsung dengan penternakan khinzir, mempunyai potensi untuk mendapat wabak ini[13]. Tetapi kini, virus influenza A subtype H1N1 nampaknya merebak dalam kalangan manusia. Bahkan laporan mengatakan bahawa virus ini sebenarnya dibawa oleh manusia. Wabak ini dengan mudahnya merebak ke seluruh dunia melalui penyebaran pathogen oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. Maka, bagaimana seseorang manusia itu boleh mendapat wabak ini? Mungkinkah akibat ‘termakan' haiwan yang berpenyakit, ekoran daripada penjagaan yang kurang sempurna? Ataupun kerana ‘terkena' virus daripada haiwan yang berpenyakit di dalam kandang yang kurang sempurna?

Bagi mereka yang beragama Islam, pastinya mereka akan lebih peka kepada perkataan ‘termakan'. Hal ini adalah kerana memakan daging haiwan berkenaan, ditegah oleh agama. Semestinya, Allah tidak mengarahkan sesuatu dengan sia-sia, kerana Dia Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh hamba-hamba-Nya.

Di dalam surah Al-Maidah, ayat 3, Allah berfirman,

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan daging (haiwan)yang disembelih bukan atas (nama) Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih...


Sejauh mana manusia cuba untuk memanipulasi dan mengubah sesuatu kejadian itu untuk menjadikannya lebih berkualiti, lebih enak mahupun lebih banyak dari segi kuantiti; tetapi jika Tuhan mengatakan ianya tidak sesuai untuk dimakan, maka, ia perlu untuk dijauhi.

Apa guna ia dibiakkan kepada suatu jumlah yang besar, jika kelak akan menyebarkan penyakit kepada manusia. Apa guna ia dimasukkan dengan gene yang baru untuk tujuan mendapatkan daging yang lebih banyak, jika kelak ianya akan menyebarkan virus berbahaya kepada kehidupan dunia. Apa yang paling penting ialah, jika kita benar-benar punya perasaan empati, mengapa perlu ditempatkan haiwan-haiwan ini di dalam kawasan yang kurang kondusif? Yang akhirnya akan membawa kepada penyebaran penyakit dengan mudah sesama mereka, akhirnya akan menyusahkan kita dan kehidupan lain.

Namun, perkembangan teknologi dalam bidang agrikultur tidak perlu disalahkan sepenuhnya. Hal ini adalah kerana ada beberapa peringkat di mana perkembangan ini sangat diperlukan. Terutama sekali dalam pemuliharaan alam sekitar yang melibatkan organisma benda hidup seperti spesis tumbuhan yang semakin berkurang populasinya. Spesis ini akan ‘dibiakkan' untuk menghasilkan anak pokok yang banyak, seterusnya dapat menampung kembali sistem ekologi dunia. Walaupun mungkin timbul beberapa isu daripada perkara ini, tetapi, paling tidak, cara ini tidak melibatkan pemakanan dan pemindahan gene daripada organisma kepada organisma yang lain. Ia hanya melibatkan penghasilan gene yang banyak daripada satu organisma. Bioteknologi adalah satu bidang yang mendatangkan manfaat kepada manusia jika ianya betul-betul dipraktikkan untuk kesejahteraan semua organisma di muka bumi.

Ada yang bertanya, "jadi, apakah kegunaan babi?". Tahukah kita bahawa untuk beberapa peringkat, haiwan ini boleh menyelamatkan nyawa kita? Haiwan ini mamalia, begitu juga dengan manusia. Jadi, pihak saintis dan penyelidik, menggunakan haiwan ini sebagai bahan ujikaji. Contohnya, untuk mendapatkan penawar kepada sesuatu penyakit. Para penyelidik akan mengambil gene yang terlibat, kemudian di masukkan ke dalam haiwan tersebut. Penyakit yang sama akan dihidap oleh haiwan tersebut, tetapi, apabila penawar telah dijumpai, ianya akan diuji kepada haiwan tersebut. Apabila ia benar-benar berkesan, kemudian barulah penawar tersebut akan diperkenalkan kepada manusia. Mungkin cara ini dianggap ‘kurang berhati perut', tetapi, sekurang-kurangnya kaedah ini dapat menyelamatkan manusia daripada menjadi bahan uji kaji. Bahan uji kaji yang kadang kala, tidak dapat ditentukan keberkesanannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa makmal di universiti-universiti yang menggunakan organ dan sel daripada haiwan ini sebagai spesimen[14]. Spesimen ini akan berfungsi untuk mendedahkan kepada pelajar dan pengajar tentang apa yang terdapat di dalam setiap bahagian organisma hidup. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan kefahaman para pelajar tentang ilmu teori mereka.

Keamanan dunia ataupun pemusnahannya sebenarnya amat bergantung kepada manusia. Hal ini adalah kerana manusia lah yang menjadi pentadbir dan makhluk yang berakal di atas bumi ini. Manusia juga yang menentukan buruk atau baik kesan yang akan diterima oleh mereka dan hidupan lain, jika sesuatu perkara itu dilakukan. Jadi, di tangan manusia terletak segalanya, cuma hasil yang baik akan didapati jika apa yang dikerjakan benar-benar mengikut hukum alam yang ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta.